07 March 2012

Poligami?

BY Fath_n!e$@ IN No comments

Oh!!! Tidak...
Apa salahnya kalau dah berkemampuan.
Pelbagai persoalan yang akan terkeluar bila mana soal poligami diutarakan.

Poligami boleh dikatakan salah satu isu yang paling sensitif dalam rumah tangga. Terutamanya pada kaum hawa seperti saya. Dan disebabkan poligami jugalah membuatkan banyak rumahtangga berantakkan.  Sebelum itu, ini semua hanyalah pandangan peribadi saya, tiada kena mengena antara yang hidup mahupun yang mati. Sekadar pandangan dari pemerhatian sekeliling. Mungkin apa yang ingin saya perkatakan ini tidak sama sekali dipersetujui oleh kalian. Saya hanyalah manusia biasa. Saya dah kahwin ker? Blom lagi la...Mungkin ini juga menjadi salah satu faktor kenapa saya belum berkahwin. Mungkin yer, saya ak mengiakan mahu menidakkan.

Apa yang saya faham mengenai poligami? Poligami kalau secara ringkasnya dalam Islam adalah suami yang berkahwin lebih dari seorang isteri. Tapi ada beberapa faktor yang membolehkan suami itu berkahwin lebih dari seorang. Antaranya, berkemampuan dari segi zahir dan batin. Boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya. Selain itu, lelaki yang dibenarkan berpoligami adalah akibat peperangan, iaitu apabila terdapat suami yang terkorban mati syahid. Hal ini biasa berlaku di zaman Rasulullah saw, Ingin membantu ibu-ibu tunggal, serta ingin membantu kaum wanita yang miskin dan sebagainya.
Orang kata wanita yang rela berpoligami itu akan mendapat payung emas. Dan bagi saya, itu bukanlah faktor utama mengapa wanita rela berpoligami, cuma bagi saya, wanita yang betul-betul tabah, kuat dan redha dengan ketentuanNya sahaja mampu berkeadaan begitu. Dan bukanlah saya mengatakan wanita yang tidak rela berpoligami itu tak redha dengan ketentuanNya, tapi mereka mungkin ada alasan tersendiri.

Poligami itu memang indah bag kaum lelaki, tetapi berapa ramai lelaki yang benar-benar mampu menghayati keindahannya? Mampukah mereka menjalani tuntutan agaa supaya sentiasa berlaku adil antara kedua-dua isteri. Itu kalau 2 isteri, bagaimana pula yang berkahwin sehingga 4 isteri. Dari pengamatan saya, secara realitinya, berapa banyak lelaki yang sanggup melaksanakannya. Hari ini, kebanyakan lelaki yang berpoligami memilih gadis muda khususnya yang masih bergetah sebagai isteri kedua, bukannya ibu tunggal yang sudah mempunyai anak berderet ataupun gadis lanjut usia. Jika adapun, mungkin seorang dua daripada ratusan, atau mungkin ribuan lelaki.

Kebanyakkan wanita yang meluahkan rasa kebimbangan terhadap isu poligami ini, pasti dianggap menentang hukum agama sehingga ada yang mempertikaikan tahap keimanan pihak terbabit. Hakikatnya, tiada siapa yang mempertikaikan hukum yang termaktub dalam al-Quran itu. Poligami adalah harus hukumnya dan kita juga bersetuju jika seseorang lelaki itu berkemampuan dari segi zahir dan batin, mampu berlaku adil kepada semua isterinya, mengapa hendak dibantah. Zaman sekarang ini, apa yang kita bimbangkan jika poligami itu diiringi dengan ketidakadilan daripada pihak suami, dan seterusnya menzalimi wanita. Wanita setabah mana sekalipun akan bangkit menyuarakan hak apabila diri dianiaya.

Dalam hubungan ini, suami perlu berlaku adil bukan saja dari segi zahir, bahkan juga emosi. Ada yang mampu menyediakan keperluan harian seperti harta, pakaian, makan dan minum, tetapi perasaan isteri tidak dijaga, malah anak yang sepatutnya menjadi perhatian utama diabaikan. Keadilan bukan saja membabitkan isteri pertama, sebaliknya isteri kedua dan berikutnya. Jika selama ini kita sering mendengar kisah penganiayaan terhadap isteri pertama, isteri-isteri lain juga apa kurangnya.

Betul, bukan semua lelaki yang gagal melunaskan tanggungjawabnya apabila berpoligami, tetapi jika dilihat kepada laporan yang diterima oleh jabatan agama, itulah senario yang berlaku. Hakikatnya, agak sukar untuk berlaku adil jika nawaitu asal seseorang untuk berpoligami tidak betul. Islam membenarkan poligami, tetapi tidak bermakna ia boleh diamalkan sewenang-wenangnya kerana ada garis panduan yang perlu diikuti bagi mengelakkan kezaliman kepada pihak wanita.

Justeru, tepuk dada tanya selera. Bagi lelaki, poligami itu indah, tetapi lebih indah jika diserikan dengan pemahaman yang tinggi, manakala bagi wanita pula siapa yang tidak hendak mengejar ‘payung emas’, namun dalam pencarian itu peritnya hanya kita yang tahu. Tidak semua pasangan kita sempurna, sedangkan diri kita juga tidak sempurna. Cinta bukan bererti mencintai seseorang yang sempurna tapi bagaimana mencintai seseorang yang tidak sempurna dengan cara yang sempurna.

Wallahualam...

Reactions:

0 comments: