13 March 2012

Al-Fatihah Adik Nurul Nadirah

BY Fath_n!e$@ IN No comments

Al-Fatihah kepada adik Nurul Nadirah yang dikenali dengan nama Dirang (kalau tak salah saya) dikalangan ahli keluarga arwah. Dan takziah kepada keluarga arwah. 

Saya hanya mampu mengucap panjang tatkala mendengar dan melihat berita Buletin Utama pada dalam semalam. Syukur kerana mereka telah menemui beliau, tapi saya sangat sedih apabila mereka menjumpai jenazah beliau yang telah dibakar di ladang kelapa sawit. Tegar sungguh hati mereka kerana sanggup memperlakukan insan yang kurang daya. Tegar benar mereka sanggup membunuh dan membakar Dirang. Apa salah dia, sehingga kalian sanggup melakukannya. Manusia bersikap binatang, malah lebih teruk dari binatang. Masakan tidak, binatang juga ada yang sayangkan anak-anak sendiri. 

Hanya mampu mengalirkan air mata. Seusia dengan anak-anak buah saya yang comel, yang betah dan baru hendak mengenal erti kehidupan. Yang ada kalanya sedikit nakal tetapi tetap menjadi insan paling suci. Anak kecil yang sedang membesar, yang sedang belajar membaca. Semoga ibu serta ahli keluarga adik Dirang tabah menghadapi ujian yang paling besar dalam kehidupan mereka dengan setabah mungkin. Kita hanya manusia biasa, Allah lebih sayangkan Dirang. Pasti Dirang menunggu ibubapanya dipintu syurga. Amin. Allah tidak akan menduga hambaNya jika DIA merasakan hambaNya tidak mampu menghadapi dugaan tersebut. 
Al-Fatihah adik Dirang

Dibawah ini petikan daripada laporan diakhbar...

SENAI – Polis mengesahkan penemuan serpihan rangka manusia yang rentung di Ladang Kelapa Sawit Nusa Damai, Masai, 8 Mac lalu, adalah milik Nurul Nadirah atau panggilan manjanya, Dirang, yang hilang sejak 1 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Roslan Zainuddin berkata, pengesahan itu dibuat selepas pihaknya menerima hasil keputusan ujian DNA ke atas serpihan rangka manusia yang ditemui dan sampel ibu Dirang, Roselyn Alan, 25, hari ini.

“Berdasarkan pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian, kami menemui serpihan tulang dan berjaya mendapatkan sampel DNA yang kemudiannya dihantar ke makmal dan sepadan dengan DNA ibunya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini,” katanya lagi.

Laporan Bernama memetik Roslan berkata, walaupun siasatan awal mendapati mayat rentung itu milik manusia dewasa, namun hasil ujian DNA yang dikeluarkan itu mendapati ia adalah milik Dirang yang dilaporkan hilang sejak 1 Mac.

Katanya, faktor keadaan mayat yang rentung teruk juga menyebabkan pengecaman sukar dilakukan oleh pihaknya.

Perkembangan terbaru itu sekaligus menamatkan misteri kehilangan Nurul Nadhirah yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika keluar membeli mi segera dan telur kira-kira pukul 11 pagi, di kedai runcit di kawasan rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.

Berikutan itu satu pasukan siasatan khas telah ditubuhkan dengan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Amer Awal dan dibantu pasukan dari Bukit Aman bagi menyelesaikan kes itu.

Kes itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pihak swasta dan orang perseorang yang turut sama membantu mencari dengan mengedarkan poster mengenai kehilangan mangsa.

Hasil siasatan sebelum ini, katanya polis telah menahan empat suspek termasuk bapa kandung mangsa dan jirannya bagi membantu siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak itu.

Roslan berkata, berikutan hasil ujian itu, polis kini menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh berbanding sebelum ini yang disiasat atas aduan orang hilang.

Menurutnya, tempoh tahanan reman keempat-empat suspek akan dilanjutkan bagi membantu siasatan.

Innalillahiwainnailaihirojiun….

Reactions:

0 comments: