26 February 2012

Di Sebalik Nama Bulan-Bulan Islam

BY Fath_n!e$@ IN No comments

Manusia dan sifat ingin tahunya ibarat simbiosis.
Saling memerlukan.

Segala perkara pun mahu diambil tahu. Segala sebab dan musababnya juga mahu diambil tahu. Namun, ada yang patut diketahui dan ada pula yang tidak berapa patut untuk diketahui. Sesungguhnya, hanya Allah saja yang Maha Mengetahui akan setiap sesuatu.

Antara yang patut diambil tahu. Bulan-bulan Islam.

Tahukah kamu makna di sebaliknya? Mahu lebih hebat lagi, tahukah kamu nama-nama bulan Islam? Dan yang terpaling hebatnya lagi, tahukah kamu nama-nama bulan Islam mengikut susunannya?

Mungkin iya. Mungkin tidak.

Sepanjang kita hidup ini, tidak pernah kita ketahui makna di sebalik bulan-bulan Islam itu. Yang kita tahu, semunya hal-hal duniawi saja. Heh, apa punya perangailah. (untuk diri sendiri okey!!!) Yang mengundang lagha semua mahu diambil tahu. Yang wajib tahu dan patut tahu semua dibuatnya tidak tahu.

Astaghfirullahalazim. Tak patut betul. Hah. Jom saya kongsi dengan kalian. Dapat lagi kita sebiji ilmu baru. Tahukah kita???

Muharram
Bulan pertama iaitu Muharram (diharamkan). Dinamakan demikian kerana pada bulan itu diharamkan untuk berperang atau menumpahkan darah. Ketika Islam datang, larangan perang pada bulan itu dicabut seperti di dalam firman Allah SWT, Surah Al-Baqarah ayat 191.

Safar
Bulan kedua dinamai Safar (kosong atau kuning). Dinamakan demikian kerana pada bulan kedua ini dahulu semua laki-laki bangsa Arab meninggalkan rumah. Ada yang pergi berperang, berniaga, atau mengembara sehingga rumah-rumah kosong ditinggal kaum laki-laki.

Rabiul Awal
Bulan ketiga dinamai Rabiul Awal (Rabi'al-awal = pertama menetap). Dinamakan demikian kerana pada bulan ini semua laki-laki yang tadinya meninggalkan rumah sudah kembali berada di rumahnya masing-masing.

Rabiul Akhir
Bulan keempat dinamakan Rabiul Akhir (Rabi'as-sani = menetap yang kedua atau penghabisan). Dinamakan demikian kerana semua laki-laki yang meninggalkan rumah telah kembali menetap di rumah masing-masing untuk terakhir kalinya.

Jamaddil Awal
Bulan kelima dinamakan Jamaddil Awal (Jumada al-Ula = kekeringan pertama). Dinamakan demikian kerana bulan ini dahulu orang Arab mengalami kekeringan.

Jamaddil Akhir
Bulan keenam dinamakan Jamaddil Akhir (Jumada al-Saniah = kekeringan kedua atau penghabisan).

Rejab
Bulan ketujuh dinamakan Rejab (Mulia). Orang Arab dahulu memuliakan bulan ini dengan cara menyembelih anak unta yang pertama dari induknya. Korban ini disebut Fara'a dan dilakukan pada tanggal 1 Rajab. Pada tanggal 10 Rajab disembelih lagi anak unta, tetapi tidak mesti anak unta yang pertama. Penyembelihan korban ini disebut 'Atirah. Kebiasaan ini kemudian dihapus oleh ajaran Islam.

Sya'ban
Bulan kedelapan dinamakan Syakban (Sya'ban = berserak-serak). Dinamakan demikian kerana pada bulan ini masyarakat Arab dahulu bertebaran pergi ke lembah-lembah dan oasis-oasis mencari air. Pada waktu itu terjadi musim kering sehingga mereka dilanda kesulitan air.

Ramadhan
Bulan kesembilan dinamakan Ramadhan (Ramadhan = panas terik atau terbakar). Dinamakan demikian kerana pada bulan ini dahulu cuacanya sangat panas. Jika orang berjalan tanpa alas kaki, telapak terasa terbakar. Pada zaman Islam, erti kata terbakar itu dimaksudkan sebagai pembakaran dosa bagi orang yang melakukan puasa di bulan Ramadhan.

Syawal
Bulan kesepuluh dinamakan Syawal (Syawal = naik). Dinamakan demikian kerana pada bulan ini, dahulu orang Arab mempunyai kebiasaan naik unta. Pinggul unta dipukul sehingga ekor unta menjadi naik. Pada masa Islam, Syawal diertikan sebagai naik atau peningkatan amal kebajikan setelah sebelumnya dilatih selama sebulan dengan berpuasa Ramadhan.

Zulkaedah
Bulan kesebelas dinamakan Zulkaedah (Zu al-Qa'idah = yang empunya duduk). Dinamakan demikian kerana pada bulan ini dahulu orang Arab mempunyai kebiasaan duduk-duduk di rumah, tidak berpergian atau mengadakan perjalanan.

Zulhijjah
Bulan keduabelas dinamakan Zulhijjah (Zu al-Hijjah = yang empunya haji). Ibadah haji sebenarnya sudah dilaksanakan sejak Nabi Adam AS dan semua nabi-nabi sebelum Rasulullah SAW walaupun tata cara ibadah haji mereka tidak diketahui secara pasti. Bahkan orang Arab Jahilliyah juga melaksanakan ibadah haji dengan tata cara yang tertentu saja berbeza dengan praktik ibadah haji dalam Islam.

Wallahualam...

Reactions:

0 comments: