18 January 2012

Sifat Marah

BY Fath_n!e$@ IN No comments


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيم
“ Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Semua manusia di dalam dunia ini ada sifat marah dalam diri mereka. Begitu juga saya. Saya juga tidak terkecuali dari mempunyai sikap ini. Tapi bagaimana saya dan anda mengatasi kemarahan di dalam diri masing-masing? Lain orang, lain cara nya.
Kehidupan kita di dunia ini penuh dengan warna warni. Adakalanya kita terasa hidup ini penuh dengan cabaran dan dugaan. Sesetengah kita pula, kehidupan mereka penuh dengan kesenangan dan kemewahan. Adakah dengan kemewahan dan kesenangan itu membuatkan kita bahagia? Dan adakah dengan musibah yang melanda diri kita memudahkan kita semua cepat berputus asa? Bila senang, kita lupa akan DIA, dan bila susah, barulah kita terkial-kial mencari DIA yang jauh kita tinggalkan. Tapi hakikatnya, DIA tidak pernah meninggalkan kita baik dalam kesusahan, mahupun kesenangan. Hanya kita saja alpa dengan hal-hal duniawi sehingga alpa akan hal-hal di akhirat sana. Saya juga bukan lah manusia yang sempurna, tapi saya seadaya upaya berusaha untuk menjadi muslimah yang terbaik disisiNya.

Hidup ini banyak cabaran serta dugaan yang penuh berliku. Seharusnya kita perlulah melalui setiap dugaan ini dengan penuh kesabaran dan dalam keadaan yang tenang. Jika kesenangan yang diperolehi, gembiralah hati kita dan jika kesusahan yang menimpa, maka akan kecewalah dan marahlah kita.

Sifat marah merupakan satu sifat yang ada pada setiap individu. Tipulah jika kalian mengatakan kalian tidak pernah ada sifat marah. Marah pada tempatnya. Jangan marah tak tentu hala Semua orang sekeliling anda dihamburnya kemarahan itu. Jangan sesekali terlalu mengikut perasaan dan hawa nafsu kita. Saya akui, dahulu, senang-senang jika tidak puas hati, saya terus sahaja akan meletakkannya di wall FB saya. Itu ikut perasaan. Meluahkan segala kemarahan sehinggan ditatap oleh orang sekian alam. Yer, saya malu. Saya telah memalukan diri saya sendiri. Tapi sekarang, tidak lagi. Saya akan berfikir berkali-kali jika hendak meletakkan atau menunjukkan kemarahan buat tatapan orang. Kemarahan menunjukkan sikap kita yang lemah, dan keburukkan kita. Lemah kerana tidak dapat mengawal perasaan marah. Jadi entry kali ini pun adalah untuk memberi pengajaran dan manfaat pada diri saya sendiri.

Sebagai orang Islam yang beriman, sifat sabar adalah menjadi perisai dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan dan sentiasa reda dengan takdir Allah SWT bahkan insaf terhadap-Nya. Ini kerana mereka sedar sifat marah itu amat dibenci oleh Allah SWT dan Rasul-Nya sehingga Rasulullah SAW banyak berpesan supaya jangan bersifat marah. Ia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a bahawa ada seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad SAW: Berpesanlah kepadaku, lalu baginda bersabda : Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta dipesani, maka baginda masih tetap bersabda : Jangan marah. (riwayat Bukhari).

Sebenarnya sifat marah itu tidak menjadi kesalahan jika kena pada tempatnya dan dengan tujuan yang baik iaitu untuk menyedarkan orang yang melanggar perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Tetapi yang sebaik-baiknya, elakkanlah dari berlaku perkara sedemikian, kerana marah boleh menimbulkan keburukan dan permusuhan, bukan saja kepada orang lain tetapi kepada diri sendiri. Oleh itu agama Islam telah mengajar kita bahawa jika kita marah, maka lekas-lekaslah kita mengambil wuduk supaya kita merasa tenang dan tenteram. Di samping itu, kita hendaklah bersifat sabar dan mudah memberi maaf kepada orang yang melakukan kesalahan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji dan apabila mereka marah disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka, mereka memaafkannya. (asy-Syuura: 37).

Rasulullah SAW bersabda: “Dari ‘Atiah r.a, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu diciptakan daripada api dan sesungguhnya api itu terpadam dengan air, maka apabila salah seorang dari kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk (riwayat Abu Daud).”

Menjauhkan diri dari bersifat marah itu mempunyai banyak hikmah antaranya boleh mengelakkan berlakunya sifat dengki, dendam, benci, buruk sangka, memendam perasaan tidak baik terhadap seseorang dan bermacam-macam lagi sifat yang tidak baik. Kedua, supaya kita akan dapat mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW seperti bersopan santun dan bersedia memaafkan orang yang bersalah. Sikap sedemikian boleh menimbulkan perasaan kasih sayang dan kemesraan. Oleh itu, kita harus memahami bahawa orang yang dapat mengawal dirinya dari bersifat marah akan mendapat balasan syurga.

Saya sentiasa berdoa, agar saya sentiasa dihindari oleh sifat ini. Salah satu cara yang selalu saya praktikkan adalah dengan beristighfar dan paling-paling teruk saya akan terus ambik wuduk. Peringatan untuk diri saya dan yang lain-lain, janganlah kita sesekali meletakkan atau menunjukkan kemarahan kita kepada khalayak ramai terutamanya menggunakan wall pada FB untuk melampiaskan kemarahan. Hipokrit??? Tidak. Bukan hipokrit, tapi itulah salah satu cara supaya perkara yang kecil tidak diperbesar-besarkan. Itu sahaja. 

Oklah, sampai sini dulu entry yang panjang lebar. Berapa kali save as a draft pun tak tau la...mencari dan menyampaikan sesuatu untuk kebaikkan bukan lah mudah yang disangka. Biarlah orang lain nak kata blog saya ini S/S, janji segala penulisan /penaipan saya ini, adalah untuk diri saya semata-mata. Jika baik pada diri kalian, ambik saja, jika kalian tidak setuju, tinggalkan saja blog ini. (sambil pandang ke kanan atas, klik pada tanda X). 

Wassalam.

Ikhlas Dari :- Fath_Niesa

Reactions:

0 comments: