21 September 2010

Please read --> Kasih Ibu membawa ke syurga...(~_~)

BY Fath_n!e$@ IN No comments

Salam, td me check2 email me kt yahoo... me received email ni from my bro. along..Just nak share dengan korang...

Bukan mengenai bercinta dengan isteri orang atau sebaliknya tetapi keluhan seorang ibu tentang nasib yang dikatakannya tidak sebaik nasib ibu-ibu lain.

Ada kaum wanita menempuh kepayahan hidup di awal remaja dan berubah lebih baik setelah bekerja dan berumah tangga. Ada pula yang susah ketika awal perkahwinan dan bahagia akhirnya setelah anak semakin besar. Ada juga susah di penghujung hayat. Inilah yang menyedihkan.


'' Nasib saya tidak seperti ibu-ibu di atas, boleh dikatakan hidup saya susah, tertekan jiwa, hati dan perasaan sejak saya remaja hinggalah setelah bercucu sekarang.


'' Mungkin saya salah seorang ibu malang di dunia ini, namun saya taklahkesal. Ini kehendak All ah, saya reda tetapi saya kesal sikap anak menantu yang membuatkan hati saya hancur seperti kaca terhempas ke batu, '' demikian cerita Puan Hamizah dalam surat pendek yang dihantarkannya dan ketika kami berbual petang Isnin lalu.


Sebenarnya sudah beberapa kali kami berbual, tetapi terputus-putus, kerana gangguan cucu menangis dan beliau takut bercakap terlalu lama di telefon bimbang anak menantu tidak dapat menghubunginya kerana telefon sedang digunakan.. Jadi kami berbual kira-kira enam minit setiap panggilan.


Hinggalah saya faham perasaan hatinya yang terluka selama ini.


'' Dah lama sangat saya nak luahkan isi hati saya ini, tetapi tak ada orang yang boleh saya percayai, lagipun kehidupan saya yang terkurung tidak mengizinkan saya berjumpa dengan ramai orang. Nak cakap dengan jiran takut anak terasa malu. Jadi saya simpan semuanya dalam hati.


'Tetapi apa pun kesimpulan masalah saya ini semuanya berpunca kerana kemiskinan dan kesusahan hidup saya. Kalau hidup kita miskin, anak menantu pun tak suka, malah menganggap kita menyusahkan hidup mereka sahaja. Itulah nasib saya.


'' Saya ibu tunggal, diceraikan kerana suami nak kahwin lagi, bakal isteri barunya tak mahu bermadu, jadi tinggallah saya bersama empat orang anak yang masih sekolah rendah dan dua menengah. Kerana anak pertama dan kedua perempuan agak pandai sikit dapatlah dia belajar ke sekolah menengah sains berasrama. Walaupun duduk asrama saya terpaksa hantar duit sebab belanja mereka agak tinggi, macam-macam nak dibeli.


'' Saya bekerja keras untuk mencukupkan belanja mereka di samping dua lagi yang bersekolah rendah. Ayah mereka setelah menceraikan saya, nafkah anak-anak tak diberi. Nak jenguk anak pun takut isteri baru marah. Puas saya pergi pejabat dan turun naik mahkamah syariah tapi gagal dapatkan nafkah. Buat habis duit tambang, terpaksa cuti. Akhirnya saya buat keputusan biarlah dia berseronok dengan kehidupan barunya dan jawablah di akhirat nanti.


'' Ketika bercerai saya tak ada rumah, menyewa rumah kecil di kawasan dekat KL memang mudah pergi kerja, tapi sewa rumah tinggi. Selain bekerja, saya jual kain potong yang orang hantar minta saya jualkan, paling tidak, dapat juga anak-anak berganti pakaian yang mereka berikan. Biarpun terpakai tetapi masih baru senanglah berpakaian. Kalau besar saya kecilkan.


'' Dengan izin All ah anak yang tua sambung belajar buat diploma dua tahun kemudian, yang kedua pula ikut sama. Harapan saya bila mereka bekerja nanti senanglah sikit hidup saya. Sayangnya saya cuma berharap, All ah yang menentukan.


'' Tak sampai enam bulan bekerja dia nak kahwin. Tersentak juga rasa hati, cepat sangat anak saya laku. Walaupun saya minta dia tangguhkan dulu, sebab tak berduit buat kenduri, tetapi yang lelaki mendesak. Anak saya Izah terpaksa ikut.


'' Kenduri kami ala kadar. Kata Izah, bakal suaminya tak suka buat majlis panggil ramai orang, membazir aja. Saya ikutkan memang pun saya tak berduit lagipun hantarannya tak tinggi cukup buat kenduri saja. Selesai majlis cuma dua malam menantu saya tidur di rumah, mereka terus pindah rumah lain.


'' Dua hari lepas pindah, ketika saya sibuk mengira hutang belum selesai, Izah datang ke rumah bersama suaminya, bertanyakan mana set bilik pengantin sebab dia nak bawa ke rumah mereka. Izah tahu saya cuma beli katil dan tilam, almari pakaian dan almari solek pakai yang lama lagipun rumah sewa kami kecil, mana nak muat. Tetapi sebenarnya saya tak mampu nak beli semua benda itu.


'' Kerana tak ada set tersebut menantu saya minta beli yang baru. Hutang lagi. Izah tak berani bantah walaupun dia tahu saya tak berduit. Hutang lama tak selesai hutang baru bertambah. Namun dalam hati kecil saya mengharapkan kalau Izah bagi saya RM100 setiap bulan seperti sebelum dia kahwin, mungkin hutang itu boleh saya selesaikan. Tetapi sejak Izah kahwin dia tak beri saya duit langsung.


'' Waktu itu memang saya susah, mana nak bayar hutang, tiga orang anak lagi tengah belajar, seorang peringkat akhir pengajiannya, sementara seorang lagi nak ambil SPM, tetapi pada siapa saya nak mengadu, saudara-mara bukan orang kaya, mereka pun duduk kampung harapkan anak-anak. Namun mereka masih bernasib baik daripada saya kerana ada anak-anak yang menolong. Berbanding saya."


'' Kerana terdesak saya minta Izah bantu bayarkan duit periksa adiknya, tetapi kata Izah, dia tak ada duit, semua duit gajinya suaminya pegang. Kata Izah, suaminya kata, lepas kahwin dia mesti ikut perintah suami bukan emak lagi, syurga bawah tapak kaki suami. Lagipun dia nak simpan duit beli kereta baru dan rumah.


'' Hendak tak nak saya terpaksa tebalkan muka pinjam pada kawan sekerja RM100 janji bayar dua bulan. Ketika Imah habis belajar saya menyimpan hajat mungkin bila dia kerja nanti dia boleh membantu saya. Imah pula lambat dapat kerja, dia terpaksa kerja sementara di kilang, memang dia ada bantu saya cuma beberapa bulan sebelum dapat kerja yang memaksanya pindah duduk nun di selatan.


'' Hati saya suka dalam duka. Gembira anak dapat kerja tapi sedih dia terpaksa tinggalkan saya. Di tempat baru dia terpaksa sewa rumah, untuk tiga bulan pertama, memang dia tak kirimkan saya duit. Sebaliknya saya meminjam bagi dia bekalan sedikit duit semasa pindah. Sekali lagi kawan jadi mangsa. Tapi saya bayar balik semuanya walaupun berdikit-dikit.


'' Anak kedua pun cepat jodoh, tak sampai setahun bekerja dia kahwin orang sana . Saya buat kenduri kecil, nak panggil ramai orang kita perlu belanja besar. Asalkan mereka selamat kahwin sudah cukup. Ayah mereka datang untuk izinkan nikah. Tak ada satu sen pun dia keluarkan duit belanja.


'' Kalau orang lain gembira anak perempuan mereka cepat kahwin tapi orang susah macam saya cuma tangis mengiringi mereka. Sedih dan takut apakah Imah juga ikut jejak kakaknya serahkan semua duit gajinya kepada suami. Kalau saya orang senang memang saya tak harap duit mereka, tetapi susah, merekalah harapan saya.


'' Dua orang anak lelaki saya Ismail dan Ishak faham masalah saya. Ismail tolak tawaran buat diploma walaupun dia layak, dia bekerja di kilang, katanya nak tolong saya dan adiknya habiskan belajar sampai tingkatan lima .Saya menangis mengenangkan pengorbanannya, namun saya terus memujuk supaya dia terus belajar, biarlah saya susah bekerja dan berhutang, asalkan masa depannya terjamin, tetapi dia menolak, dia terus kerja kilang. Katanya, dia akan sambung belajar kalau ada rezeki. Tapi sampai kini dia masih kerja kilang dengan pendapatan cukup makan saja. Anak keempat saya pun berakhir dengan kerja kilang.


'' Saya cukup sedih, tetapi apakan daya saya tidak ada kemampuan untuk mendesak mereka terus belajar kerana saya pun tak berduit. Ayah mereka tak ambil peduli selepas dia dapat empat orang lagi anak dengan isteri baru dan masil kecil-kecil.


'' Peristiwa itu berlaku kira-kira 10 tahun lalu, kini badan saya semakin tua, sudah tak berdaya nak bekerja. Untuk menampung hidup, saya jaga anak orang yang dihantar ke rumah saya. Tetapi bila Izah tak ada pembantu, dia suruh saya duduk dengan dia jaga anak-anaknya. Sekarang dah lebih enam tahun.


'' Saya rasa saya adalah pembantu rumahnya, tapi tak bergaji, dapat makan dapat tempat tidur. Tapi masalahnya saya dah berusia dekat 50 tahun, badan saya sudah tak kuat lagi. Kerana hidup susah sejak muda, saya memang kelihatan tua.


'' Saya fikir bila dia ambil saya tinggal di rumahnya, dapatlah saya ke surau, buat amal ibadah dengan selesa, malangnya sembahyang tarawih pun jarang dapat pergi, di rumah aja menguruskan anak cucu.


'' Bila sendirian saya selalu menangis mengenangkan nasib. Dari kecil anak saya besarkan, berhutang keliling pinggang untuk menyekolahkan mereka, tapi bila dah senang suami dia kutip hasil. Kalaulah anak saya menjaga saya, agaknya tak sampai umur saya 65 pasti saya dah mati. Cuma 15 tahun sahaja dia menjaga saya.


'' Tetapi kalau dia ada umur dia akan hidup bersama suaminya lebih 42 tahun iaitu sejak 23 tahun umur dia mula bekerja hinggalah 65 tahun. Jadi apalah salahnya dia bantu hidup saya yang susah ini dan tolong anak- anaknya melanjutkan pelajaran. Memang tugas ibu membesarkan anak-anak dan menyekolahkan mereka, dan tak boleh minta pembalasan, itu benar, tetapi saya bukan orang senang, saya susah.


'' Apa yang menyedihkan saya ialah hidup dua orang anak lelaki saya sampai bila dia mesti bekerja jadi pekerja kilang. Bukan saya hina pekerja kilang, tetapi mereka pandai, mereka dapat tawaran sambung belajar ke IPTA apa salahnya kakak-kakak mereka menghulurkan bantuan kerana dia tahu saya susah dan ayahnya tak membantu dan tak pernah beri nafkah. Salahkah saya meminta bantuan?


Mengapa menantu saya terlalu berkira tentang duit dan membuat saya macam hamba abdi? Kalau saya pembantu rumah orang lain tentu dapat imbuhan tetapi duduk di rumah anak sendiri saya benar-benar terhina. Saya perlukan masa sendiri untuk membuat amal ibadah yang banyak saya tinggalkan semasa bekerja dahulu. Tetapi semuanya tersekat kerana menguruskan empat orang cucu pergi sekolah rendah, sekolah agama, tadika dan sebagainya.


'' Sudahlah hidup saya susah semasa membesarkan anak-anak, dah tua begini pun saya terpaksa jaga cucu. Saya rasa terhina kerana duduk menumpang di rumah mereka. Kerana saya tidak punya apa-apa, miskin dan tak berharta saya dibuat macam hamba. Nak berbual dengan anak pun terhad, menantu sentiasa mengawasi, apa lagi kalau nak berbual dengan jiran tetangga.


'' Saya amat sedih terutama bila besan atau saudara-mara menantu saya datang ke rumah, saya tunggang-langgang di dapur memasak, mereka cuma berbual dan menunggu hidangan terhidang, saya betul-betul terhina. Lagi sedih bila menantu bising fasal bil elektrik dan air meningkat.


"Sabun pencuci cepat habis pun merunsingkan fikirannya. Menantu saya terlalu berkira fasal duit. Entah bila penderitaan saya akan berakhir. Saya sentiasa berdoa supaya saya tidak terlantar sakit terlalu lama sebelum mati. Kerana saya tak tahu siapa nak jaga saya nanti, '' demikian cerita Hamizah dengan nada suara tersekat-sekat.


Saya hanya tumpang sedih. Apakah zaman ini masih ada anak-anak seperti ini, Benarlah kata Hamizah, kalau diri tak berduit bukan sahaja dihina orang, anak-anak sendiri pun benci dan tak hormatkan kita. Agaknya mereka terlalu hormatkan suami kerana syurga di bawah tapak kaki suami. Ibu tak berguna lagi.


Tapi kata seorang teman, suami boleh berganti kalau jodoh dah tiada, tapi ibu itulah satu-satunya di dunia dan akhirat. Entahlah! Tapi sayangilah ibu semasa masih ada, kerana doa ibu membawa berkat.

p/s :- Marilah kita sama-sama fikirkan, renungkan....Kasih Ibu membawa ke syurga...(~_~)

Reactions:

0 comments: