20 September 2010

Mengenali musuh: Yahudi, Bani Israel atau Zionisme?

BY Fath_n!e$@ IN , No comments

Assalamualaikum semua.. Me nak berkongsi skit mengenai citer pasal Mengenali musuh --> Yahudi, Bani Israel atau Zionisme..Me baru jer terbaca artikel ni kt tenet. So just untuk berkongsi apa yang me baca dgn korang semua. If korang der pandangan sendiri, korang leh kongsi dgn me jugak...


Mengenali musuh: Yahudi, Bani Israel atau Zionisme?

Dalam memahami sengketa antara dunia Islam dengan Zionist, kita perlu memahami perbezaan Istilah yang biasanya merujuk kepada mereka. Perkara ini penting bagi memestikan kita berhadapan dengan musuh yang sebenarnya, dan tidak meletakkan permusuhan itu kepada yang bukan musuh.
Ada 4 istilah yang biasanya digunakan untuk merujuk kepada mereka, seperti berikut:

1. Israel
Israel adalah nama gelaran kepada nabi Allah Ya’qub A.S. Ada yang menyatakan maksud Israel itu sebenarnya ialah kekasih Tuhan. Perkataan Israel juga banyak kali digunakan di dalam al-Quran dengan istilah Bani Israel, dengan merujuk kepada bangsa Israel atau anak-anak dan pengikut Ya’qub yang beriman dan juga yang kufur dengan ajaran Allah. Justeru, ramai berpendapat yang perkataan Israel itu lebih merujuk kepada bangsa mereka secara umum tanpa kaitan dengan agama yang mereka anuti. Ada juga yang berpendapat bangsa Yahudi sekarang di Palestin tidak layak menggunakan perkataan Israel sebagai nama negara haram mereka, kerana Israel itu adalah nama nabi, pemimpin orang yang beriman.

Ada juga pendapat lain yang menyatakan perkataan Israel itu bermaksud ‘kamu mengalahkan Tuhan’, dengan merujuk kepada kisah mengarut mereka apabila Ya’qub mengalahkan Tuhan bernama Yahwu di dalam satu sengketa.

2. Yahudi
Ada beberapa pendapat mengenai istilah Yahudi ini. Ada yang menyatakan ianya merujuk kepada anak keempat nabi Ya’qub yang bernama Yahuza. Raja Nebuchadnezzar II adalah pemimpin kerajaan Babylon yang mengalahkan kuasa bangsa Yahudi ini yang ketika itu dikenali dengan nama Kerajaan Yahuza.

Ada yang berpendapat Yahudi itu merujuk kepada pengikut nabi Allah Musa. Bagi yang percaya dengan kitab Taurat dan Zabur, serta Kitab Talmud yang dikarang-karut oleh Hakham (pendita) mereka, mereka dipanggil Yahudi. Semua yang lahir daripada ibu atau bapa berbangsa Yahudi, dianggap Yahudi oleh mereka.

Pendapat lain menyatakan yang Yahudi itu merujuk kepada keluarga Hud, yang merupakan pecahan daripada keturunan Ibrahim. Sebahagian keturunan Ibrahim percaya dengan seruan Musa yang akhirnya mereka ini menganggap ianya sebagai agama baru. Ibrahim mempunyai keturunan yang ramai, daripada anaknya Ismail lahirnya keturunan Arab dan nabi Muhammad, sementara daripada anaknya Ishaq lahirnya bangsa Yahudi ini.

Banyak kajian mendapati yang perkataan Yahudi ini banyak merujuk kepada bangsa mereka yang percaya dengan agama mereka yang telah diseleweng. Ini bermakna, Yahudi lebih merujuk kepada pengikut agama, dan bukannya sinonim dengan bangsa.

Sebahagian ulamak menyatakan yang di dalam al-Quran, apabila Allah ingin menceritakan kisah jahat bangsa Yahudi ini, Allah banyak menggelar mereka dengan perkataan Yahudi. Dan apabila Allah ingin menceritakan mengenai kisah bangsa ini yang beriman dengan Tuhan mereka, maka Allah akan gunakan perkataan Bani Israel. Saya dapati yang pandangan ini tidak tepat seluruhnya, kerana ada juga ayat di mana Allah menggunakan perkataan Bani Israel merujuk kepada bangsa berkenaan yang mengingkari ajaran Tuhan, seperti dalam surah al-Ma’idah ayat 78:

Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.

Walaupun ayat di atas menggunakan istilah min bani Israel - sebahagian daripada bani Israel – merujuk kepada bangsa Yahudi yang kufur, akan tetapi Allah tetap menggelar mereka sebagai bani Israel. Saya bersetuju sekiranya dikatakan kebanyakan ayat dalam al-Quran yang melaknat bangsa Yahudi menggunakan kalimah Yahudi, tetapi tidak semua.

3. Hebrew
Di dalam bahasa Arab, ianya dikenali dengan perkataan Ibrani. Asal perkataannya bermaksud menyeberang, kerana orang Yahudi mengikut sejarah dikenali sebagai bangsa yang berpindah-randah dan menyeberangi sungai. Contohnya, nabi Allah Ya’qub menyeberangi Sungai Furat, dan juga nabi Allah Yusuf dan nabi Allah Ibrahim A.S, semuanya terkenal dengan kisah berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain.
Sebahagian golongan sekular bangsa ini lebih menggelar diri mereka dengan istilah Hebrew, kerana bagi mereka Hebrew adalah nama lama sebelum lahirnya agama Yahudi.

4. Zionisme

Propaganda Zionist untuk membina Temple of Solomon di atas runtuhan al-Aqsa
Zionisme adalah berasal daripada perkataan Bukit Zion, merujuk kepada tapak paling suci di dalam agama Yahudi. Mereka percaya di Bukit Zion itulah tapak sebenarnya Temple of Solomon (Haikal/Kuil Sulaiman). Tapak itu sekarang ialah betul-betul di Dome of The Rock (Qubbah al-Sakhrah) yang merupakan sebahagian daripada Masjid al-Aqsa.

Zionisme adalah sebuah pergerakan kebangsaan yang ditubuhkan oleh orang berbangsa Yahudi. Ianya merupakan sebuah ideologi politik sempit berasaskan perkauman yang meletakkan sasaran merampas serta menubuhkan sebuah negara bangsa Yahudi di atas tanah milik rakyat Palestin. Ditubuhkan pada tahun 1897 di Basel, Switzerland. Dalam persidangan pertama mereka pada tahun penubuhannya, Theodor Herzl telah dilantik sebagai pemimpin pertama pergerakan tersebut. Modus operandi utama pergerakan ini ialah membawa masuk bangsa-bangsa Yahudi dari seluruh dunia terutamanya dari Amerika dan Eropah Timur, masuk ke dalam negara Palestin. Mereka akan menggunakan apa sahaja cara, seperti merampas tanah dan juga perjanjian politik dengan kuasa penjajah, bagi membolehkan mereka menguasai seinci demi seinci tanah Palestin. Mereka berusaha untuk menzioniskan atau mengyahudikan identiti kawasan berkenaan, lalu mengubah demografi tanah suci tersebut. 

MENGENALI MUSUH SEBENAR

Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam. Sebahagian orientalis dan musuh Islam cuma mewujudkan imej yang kandungan al-Quran itu menganjur permusuhan mutlak kepada orang Yahudi dan non-Muslim yang lain. Lalu mereka datangkanlah beberapa potong ayat atau tafsiran ayat al-Quran, seperti ayat ketujuh daripada surah al-Fatihah yang menyatakan bahawa orang yang dimurkai itu merujuk kepada Yahudi, dan orang yang sesat itu merujuk kepada penganut Kristian.

Adalah tidak tepat kalau kita masuk ke dalam jerat musuh ini. Sekiranya diperhatikan di dalam al-Quran dan al-Sunnah, maka kita akan dapati bahawa Islam tidak pernah mengajar kita bermusuh secara mutlak kepada non-Muslim termasuklah juga bangsa Yahudi. Nabi sendiri pernah berkahwin dengan Safiyyah binti Huyai, seorang puteri kepada pemimpin Yahudi di Madinah. Islam juga membenarkan kita makan daging sembelihan Yahudi, menggambarkan betapa rapatnya hubungan kita dengan mereka. Selain itu, wanita mereka juga boleh dinikahi. Islam juga menganjurkan kita melakukan urus niaga perdagangan dengan mereka, sehinggakan ada satu bab khusus di dalam Sahih Bukhari bertajuk ‘Bab Berurusniaga Dengan Musyrik dan Yahudi’.

zionisme 
Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang memusuhi kemanusiaan. Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang memandang hina bangsa selain Yahudi yang dipanggil Goyem oleh mereka. Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang merampas tanah milik orang Palestin termasuklah tanah waqaf seinci demi seinci demi cita-cita politik mereka. Yang menjadi musuh kita, ialah bangsa Yahudi yang menghalalkan pertumpahan darah orang awam, kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa demi haloba perjuangan mereka.

Itulah yang diperjuangkan oleh pergerakan Zionisme. Kini, simbol Zionisme itu disemat erat di dalam bendera negara haram Israel. Bukan semua Yahudi bersama-sama dengan Zionisme. Ramai juga yang menentang Zionisme terutamanya daripada kumpulan orthodox mereka. Dan bukan semua yang Zionisme itu adalah berbangsa Yahudi. Di dalam artikel akan datang, saya akan dedahkah bangsa selain Yahudi yang menjadi pendokong pergerakan Zionisme, termasuklah daripada orang Islam itu sendiri.
 ===========================================================================

Di dalam artikel sebelum ini, saya telah menjelaskan dengan sedikit sebanyak mengenai perbezaan antara Israel, Yahudi, Hebrew dan Zionisme.

Sebagai mengayakan lagi maklumat mengenai Zionisme, dan seperti yang dijanjikan sebelum ini, kali ini insyaAllah saya akan berkongsi mengenai Zionisme daripada aspek siapakah penggerak dan penyokongnya.

Rata-rata kita  berpandangan yang Zionisme itu ialah trademark manusia berbangsa Yahudi. Daripada satu sudut, ianya betul terutamanya daripada aspek sejarah penubuhannya. Tetapi perlu diingatkan yang bukan semua yang berbangsa Yahudi menyokong Zionisme, bahkan bukan semua pendokong Zionisme itu berbangsa Yahudi.

Ada manusia bukan Yahudi yang kurang atau tidak beragama, tetapi menjadi pendokong kuat Zionisme. Contoh yang paling hampir ialah pemimpin kedua-dua parti politik utama terbesar di Amerika Syarikat, semua mereka tunduk kepada lobi Zionist. Dengan sebab itulah kita tidak terkejut apabila kebanyakan draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengutuk negara haram Israel atau sebarang tindakan ketenteraan Zionist, akan dibatalkan dengan kuasa veto Amerika Syarikat. Yang menentukan siapakah memegang portfolio kanan di Rumah Putih juga adalah tertakluk kepada lobi Zionist yang amat berpengaruh di Amerika Syarikat.

Ada juga yang beragama Kristian, tetapi menjadi pendokong Zionisme. Antaranya ialah Denis Michael Roha, seorang pelancong dari Australia yang merupakan penganut kuat pecahan Evangelical Kristian yang dikenali sebagai Worldwide Church of God. Beliau telah bertanggungjawab membakar satu monumen bersejarah simbol kemenangan Islam ke atas Crusades iaitulah minbar Salahuddin al-Ayyubi. Minbar ini asalnya telah dibina oleh Nuruddin Zinki ketika beliau telah menghidu kemenangan Islam semasa Perang Salib, akan tetapi Allah mentaqdirkan yang kemenangan itu berlaku di tangan Salahuddin al-Ayyubi. Salahuddin telah membawa masuk minbar tersebut ke dalam Jami’ al-Aqsa di dalam al-Masjid al-Aqsa setelah mengalahkan tentera Salibiyyah pada tahun 1187 M. Minbar itu bertahan sebagai pentas imam berkhutbah, sehinggalah ke tahun 1969 M, apabila Denis Michael Rohan telah menceroboh ke dalam al-Aqsa lalu membakarnya hingga musnah. Beliau beranggapan yang dengan membakarnya, akan mempercepatkan proses kembalinya Nabi Isa (mengikut kepercayaan Kristian) selepas Israel membina Haikal Sulaiman di atas runtuhan al-Aqsa.

Selain itu, jangan terkejut sekiranya anda dapati segelintir Muslim yang mendokong perjuangan Zionisme. Sejarah telah membuktikan betapa atas semangat kebangsaan Arab, ada segelintir pemimpin Arab yang sanggup bersekongkol dengan pergerakan Zionisme. Mereka melihat Khilafah Uthmaniyyah, yang memimpin negara-negara Islam termasuklah di negara Arab sebagai penjajah tanah air mereka. Mereka yang tidak lagi dapat menerima kepemimpinan Islam di bawah manusia bukan Arab (ajam) daripada Khilafah Uthmaniyyah banyak menunjukkan simpati terhadap Zionisme, dan tidak kurang juga yang memberikan sokongan. Contoh surat sokongan antara pemimpin Arab kepada pemimpin Zionist boleh dilihat di capaian ini. Ada juga laporan menyatakan segelintir penduduk Palestin sanggup menjual tanah kepada pendatang-pendatang haram Yahudi.

Dr Tawfik Ahmad

Pada zaman moden ini, antara yang menjadi tokoh Muslim yang mendokong Zionisme ialah Dr Taufik Ahmad dan Professor Abdul Hadi Palazzi. Dr Taufik Ahmad adalah seorang bekas ahli kumpulan al-Jama’ah al-Islamiyyah, kumpulan yang dilabekan sebagai kumpulan pelampau di Mesir. Kecewa dengan kumpulan yang disifatkan sebagai radikal itu, akhirnya beliau keluar dan kini menetap di Amerika Syarikat. Beliau kini aktif memenuhi jemputan diskusi dan forum mengenai Islam radikal, serta ‘keamanan’ menurut perspektif dirinya sendiri yang sama dengan pemikiran barat. Beberapa kali keluar di dalam CNN dan Fox News, kerap menulis di dalam akhbar barat, beliau kini merupakan fellow kanan Study of Islamic Radicalism di Potomac Institute for Policy Studies. Kata-kata yang kerap beliau ungkapkan, ialah “Saya ialah Islam daripada sudut kepercayaan, Kristian daripada sudut kerohanian, Yahudi daripada sudut hati, dan lebih daripada itu saya merupakan manusia biasa”.

Syeikh Palazzi
Professor Abdul Hadi Palazzi pula ialah seorang ahli akademik Itali yang menubuhkan Islam-Israel Fellowship. Beliau berasal dari Rome, dan pernah belajar di Universiti al-Azhar. Bapanya sebelum memeluk Islam merupakan seorang penganut Kristian tempatan, manakala ibunya pula berasal daripada keturunan Syria. Kini, beliau merupakan pemimpin Italian Muslim Assembly, dianggap sebagai ‘Mufti Itali’, serta sering memenuhi jemputan ceramah mengenai pengiktirafan terhadap negara Israel, ‘keamanan’ dunia dan juga Islam radikal.

Kedua-dua mereka adalah penyokong kuat Zionisme. Mereka tanpa segan silu secara terbuka dan berulang kali menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada penubuhan negara haram Israel. Sokongan mereka, walau bagaimanapun, bukannya tanpa hujjah, tetapi mereka menggunakan ‘kecerdikan’ mereka menafsirkan beberapa ayat al-Quran. Antaranya ialah ayat 104 daripada surah al-Isra’:

Dan Kami katakan kepada Bani Israil, sesudah Firaun (dibinasakan): “Tinggalah kamu di negeri itu kemudian apabila datang tempoh hari akhirat, kami datangkan kamu (ke padang Mahsyar) dengan bercampur-aduk”.

Dengan tidak mengambil kira ayat-ayat lain yang menceritakan bagaimana Allah mengarah Bani Israel untuk memasuki Palestin, Tawfik Ahmad dan Abdul Hadi Palazzi kerap menggunakan ayat di atas sebagai hujjah utama keabsahan tindakan Yahudi moden menceroboh, menjajah dan merampas tanah milik orang Arab Palestin. Mereka memahami yang ayat di atas sebagai satu pemberian yang diwartakan oleh Allah SWT menganugerahkan tanah Palestin kepada Bani Israel.

Secara ringkas, metodologi yang mereka gunakan untuk memahami ayat di atas adalah salah. Di dalam memahami nas al-Quran, seseorang tidak boleh beriman dengan sepotong ayat, tetapi mengingkari ayat yang lain. Sekiranya merujuk kepada ayat-ayat al-Quran lain mengenai sejarah Bani Israel dan Palestin, kita akan secara mudah memahami yang Palestin itu hanyalah diberikan oleh Allah kepada Bani Israel yang beriman dengan Allah SWT. Allah tidak sewenang-wenangnya memberikan negara itu kepada mereka tanpa syarat. Sebagai contoh, ayat 20-24 daripada surah al-Ma’idah:

20. Dan (ingatkanlah mereka Wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! kenanglah nikmat Allah (yang diberikan) kepada kamu ketika ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan ia memberikan kepada kamu barang Yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”.

21. (Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”.
22. mereka menjawab: “Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)”.
23. berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah Tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: “Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman”
24. mereka (Menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, Sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah Engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu”.

Begitu juga dengan ayat 58 daripada surah al-Baqarah:
58. dan (kenangkanlah) ketika kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa kami ‘; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.

Dua petikan Firman Allah di atas, hanyalah sebahagian daripada beberapa ayat lain di dalam al-Quran yang menceritakan betapa Palestin itu diwarisi dengan bersyarat. Syarat utamanya ialah, mereka yang diberikan hak ke atas Palestin itu mestilah terdiri daripada mereka-mereka yang beriman, serta tunduk kepada arahan Allah. Sekiranya mereka kufur dengan arahan Allah, maka hilanglah hak berkenaan. Beriman serta tunduk kepada Allah, ini ialah kualiti yang hilang daripada bangsa Yahudi sekarang.

Selain itu, Syeikh Mutawalli Sha’rawi juga berpandangan ayat 104 daripada surah al-Isra’ di atas tidak bermaksud yang Allah memberikan negara Palestin kepada orang Yahudi. Ini kerana yang dimaksudkan dengan al-Ard di dalam ayat di atas ialah tanah atau mana-mana negara secara umum sahaja, tanpa dikhususkan kepada Palestin, dan ini terbukti yang orang-orang Yahudi walaupun jumlah mereka sedikit, tetapi berselerakan di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. Ini disokong dengan ayat 168 daripada surah al-A’raf yang membawa maksud Allah menyelerakkan bangsa Yahudi ini ke seluruh dunia.

Kesimpulannya, kita perlu memahami yang Zionisme itu adalah satu pergerakan politik untuk kepentingan bangsa Yahudi yang diperjuangkan bukan oleh orang Yahudi semata-mata. Telah terbukti yang penganut agama lain termasuk Islam sendiri menjadi penyokong kuat Zionisme. Dalam konteks yang lebih khusus dalam kehidupan kita, berhati-hatilah daripada menjadi penyokong Zionisme secara tidak sedar. Kita boleh menjadi kumpulan ini sekiranya kita bersikap tidak peduli dengan kezaliman yang berlaku di Palestin, mengikut hiburan tajaan Zionist, serta terus menerus membeli produk syarikat-syarikat yang menyokong Zionisme.


Reactions:

0 comments: