13 April 2010

MENGANTUKNYA!

BY Fath_n!e$@ IN No comments


"Setiap kali selepas makan tengah hari mesti mengantuk. Kadangkala rasa
tidak larat hendak buka mata. Rasanya bukan sebab tidak cukup tidur
sebab tiap-tiap malam aku tidur nyenyak," rungut seorang rakan yang
beberapa kali tersengguk-sengguk depan komputer.

Sememangnya, mengantuk selepas makan bukan disebabkan kurang tidur,
sebaliknya ia menandakan kita dahaga dan badan tidak cukup air. Ramai
tersilap menafsirkan keperluan badan terhadap air dengan rasa lapar.

Dahaga bukan petanda terbaik untuk memberitahu badan memerlukan air
kerana sensitiviti terhadap dahaga semakin berkurang apabila umur
meningkat, terutama pada orang tua. Badan kita hanya boleh mengawal
keseimbangan air hingga satu peringkat tertentu.

Paras garam akan meningkat apabila simpanan air dalam badan berkurang.
Otak akan mengesan perubahan keseimbangan ini dan memberi isyarat kepada
buah pinggang untuk mengurangkan kehilangan air serta mencetuskan rasa
dahaga.

Bagaimanapun, cetusan rasa dahaga ini berlaku lewat. Biasanya apabila
kita berasa dahaga, badan sudah kehilangan kira-kira dua cawan cecair
badan. Kehilangan ini boleh menimbulkan pelbagai implikasi.

Air adalah unsur penting dalam badan. Badan lelaki membabitkan 65
peratus air dan 55 peratus bagi wanita. Air bertindak sebagai pelarut,
penyejuk, pelincir dan agen pengangkut nutrien ke seluruh badan.

Kandungan air dalam badan setiap orang adalah berbeza mengikut kandungan
lemak masing-masing. Secara umumnya, jumlah peratusan air dalam badan
orang yang tidak banyak lemak adalah lebih tinggi. Kira-kira 70 peratus
berat otak, 75 peratus berat jantung, 90 peratus berat paru-paru dan 82
peratus kandungan darah membabitkan air.

Reactions:

0 comments: